20: PUASA SYARIAT DAN PUASA KEROHANIAN
Puasa
syariat adalah menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh
daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari . Puasa
kerohanian selain yang demikian ditambah lagi memelihara
pancaindera dan fikiran daripada perkara-perkara yang keji. Ia adalah melepaskan
segala yang tidak sesuai, zahir dan batin. Rosak sedikit sahaja niat
mengenainya rosaklah puasa rohani. Puasa syariat terikat dengan masa sementara
puasa rohani pula berkekalan di dalam kehidupan sementara ini dan kehidupan
abadi di akhirat. Inilah puasa yang sebenar.
Nabi
s.a.w bersabda, “Ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa
daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga”. Puasa syariat
ada waktu berbuka tetapi puasa rohani berjalan terus walaupun matahari sudah
terbenam, walaupun mulut sudah merasakan makanan. Mereka adalah yang menjaga
pancaindera dan pemikiran bebas daripada kejahatan dan yang menyakitkan orang
lain. Untuk itu Allah telah berjanji, “Puasa adalah amalan untuk-Ku
dan Aku yang membalasnya” . Mengenai dua jenis puasa itu Nabi
s.a.w bersabda, “Orang yang berpuasa mendapat dua kesukaan. Pertama
bila dia berbuka dan kedua bila dia melihat” . Orang yang mengenali
zahir agama mengatakan kesukaan yang pertama itu ialah kesukaan ketika berbuka
puasa dan ‘kesukaan apabila mereka melihat' itu ialah melihat anak bulan Syawal
menandakan hari raya. Orang yang mengetahui makna batin bagi puasa mengatakan
kesukaan berbuka puasa ialah apabila seseorang yang beriman itu masuk syurga
dan menikmati balasan di dalamnya, dan kesukaan yang lebih lagi ialah ‘apabila
melihat', yang bermaksud apabila orang yang beriman melihat Allah dengan mata
rahsia bagi hati.
Lebih
berharga daripada dua jenis puasa itu ialah puasa yang sebenarnya ( puasa
hakikat ), iaitu mengelakkan hati daripada menyembah sesuatu
yang lain dari Zat Allah . Ia dilakukan dengan mata hati buta terhadap
semua kewujudan, walaupun di dalam alam rahsia di luar daripada alam dunia
ini, melainkan kecintaan kepada Allah, kerana walaupun Allah menjadikan segala-galanya
untuk manusia, Dia jadikan manusia untuk-Nya, dan Dia berfirman: “Insan
adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya” . Rahasia itu
ialah cahaya daripada cahaya Allah Yang Maha Suci. Ia adalah
pusat atau jantung hati, dijadikan daripada sejenis jisim yang amat seni.
Ia adalah roh yang mengetahui segala rahsia-rahsia yang hak. Ia adalah hubungan
rahsia di antara yang dicipta dengan Pencipta. Rahsia itu tidak cenderung
dan tidak mencintai sesuatu yang lain daripada Allah.
Tidak
ada yang berharga untuk diingini, tiada yang dikasihi di dalam dunia ini dan
di akhirat, melainkan Allah. Jika satu zarah sahaja daripada sesuatu memasuki
hati selain kecintaan kepada Allah, maka batallah puasa hakikat. Seseorang
perlu memperbaharuinya, menghadapkan segala kehendak dan niat kembali kepada
kecintaan-Nya, di sini dan di akhirat. Firman Allah, “Puasa adalah
untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya”.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar